
KRYVYI RIH: Dua maut dan sekurang-kurangnya tujuh cedera akibat serangan roket Rusia menyasarkan sebuah hotel di bandar Kryvyi Rih, Ukraine.
Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, melalui aplikasi Telegram memaklumkan 14 orang berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan berkenaan.
Pasukan itu juga memuat naik gambar pasukan penyelamat melalui timbunan runtuhan di luar hotel, dengan salah satu bahagian bangunan rosak teruk.
Sebuah kren digunakan untuk mencapai tingkat atas bangunan itu.
Ketua Pentadbiran Tentera bandar itu berkata, roket terbabit mengenai bangunan dengan tepat dan mencetuskan kebakaran.
Beliau juga memberi amaran lebih ramai mangsa mungkin terperangkap di bawah runtuhan selain kemungkinan serangan baharu Rusia akan menyasarkan kawasan itu.
Kryvyi Rih, kampung halaman Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, sering menjadi sasaran serangan Rusia dalam perang yang memasuki tahun ketiga antara Kyiv dan Moscow.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.