Tumpuan :
Dunia

2 maut, 10 jambatan roboh akibat banjir besar, tanah runtuh di Sukabumi

JAKARTA: Banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Sukabumi, Jawa Barat di Indonesia, khususnya di Kampung Cisarakan pada Rabu, menimbus satu keluarga mengakibatkan dua mangsa disahkan meninggal dunia dan dua lagi masih hilang setakat ini.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, tanah runtuh di Desa Loji menimpa sebuah rumah yang dihuni oleh lima orang, empat daripadanya adalah kanak-kanak.

Ketua Daerah Simpenan, R Ade Akhsan Bratadiredja, menyatakan bahawa mangsa yang telah ditemui ialah Aden Dafa dan Ade Wahyu.

“Aden ditemukan dalam keadaan kritikal setelah tertimpa almari pakaian, namun sayangnya nyawanya tidak dapat diselamatkan dan beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” kata Ade, yang dipetik Antara pada Jumaat.

Sementara itu, dua lagi mangsa, Elma Ayunda dan Siti Hamidah, masih dalam proses pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan membabitkan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Sukabumi, sukarelawan, Basarnas, TNI, Polri, dan penduduk setempat.

Usaha mencari mangsa terhalang oleh keadaan cuaca dan medan yang sukar, menyebabkan pasukan pencari perlu berhati-hati untuk mengelakkan risiko tanah runtuh susulan.

Meskipun peluang untuk menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat adalah tipis, pihak berkuasa tetap berharap mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

Ade menjelaskan bahawa mobilisasi pergerakan jentera berat terhalang keranan akses jalan dari Jalan Raya Bagbagan ke Kiaradua yang tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh.

Timbalan Tindak Balas Kecemasan di Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Lukmansyah, melaporkan bahawa sebanyak 10 jambatan telah rosak.

“Jambatan-jambatan ini akan digantikan dengan yang baharu, termasuk satu di daerah Simpenan, Sukabumi, yang roboh akibat banjir besar,” katanya.

BPBD Daerah Sukabumi melaporkan bahawa data awal menunjukkan bencana hidrometeorologi, termasuk banjir besar, tanah runtuh, pergerakan tanah, dan cuaca melampau, melanda 33 lokasi di daerah Sukabumi, Jawa Barat, dalam tempoh dua hari.

Bencana banjir besar dan tanah runtuh turut menjejaskan ratusan penduduk, dengan seorang disahkan meninggal dunia akibat tertimbus tanah runtuh di daerah Gegerbitung, di mana usaha SAR masih dijalankan.

Ringkasan data BPBD Sukabumi menyebutkan bahawa tanah runtuh berlaku di 13 lokasi, banjir di sembilan lokasi, angin kencang di tujuh lokasi, dan pergerakan tanah di empat lokasi yang tersebar di 22 daerah.

Penduduk setempat juga diarah terus berwaspada kerana bencana alam yang bermula sejak 3 Disember lalu itu belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini