Tumpuan :
Dunia

2 demonstrasi rakyat Korea Selatan, gesa dan bantah penahanan presiden

Foto: Reuters

SEOUL: Ribuan rakyat Korea Selatan berkumpul di ibu kota untuk demonstrasi, ketika cubaan kedua menangkap Presiden, Yoon Suk-yeol, yang digantung tugas rentetan langkah mengisytihar undang-undang tentera dilaksanakan.

Media tempatan melaporkan, penyokong Suk-yeol berhimpun di luar kediamannya meskipun dalam keadaan suhu sifar sebelum tunjuk perasaan besar-besaran dijadualkan pada 1 tengah hari waktu tempatan di tengah Seoul.

Dalam pada itu, perhimpunan berasingan anti Suk-yeol juga dirancang pada jam 2.30 petang dan 4 petang, dengan kedua-duanya dilakukan untuk menuntut penahanan atau menggesa pemecatannya diisytiharkan tidak sah.

Sebelum ini, Suk-yeol gagal ditahan susulan pertembungan antara pengawal peribadinya dengan penyiasat minggu lalu selepas percubaan rampasan kuasa gagal pada 3 Disember lalu.

Foto: Reuters

Ia sekali gus membawa Korea Selatan terjerumus ke arah krisis politik terburuk sejak tempoh beberapa dekad.

Negara itu dilanda ketegangan berminggu-minggu selepas Suk-yeol mengarahkan tentera menyerbu Parlimen, namun gagal menghalang Ahli Parlimen daripada menolak perintah undang-undang tentera.

Sejak digantung, Suk-yeol terus memperkukuh keselamatan dirinya.

Berikutan tindakannya itu, Suk-yeol menghadapi tuduhan jenayah pemberontakan, yang juga antara jenayah yang tidak tertakluk kepada imuniti presiden.

Justeru, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara atau mati.

Jika waran itu dilaksanakan, Suk-yeol akan menjadi presiden Korea Selatan pertama yang ditahan ketika masih memegang jawatan.

Pejabat Siasatan Kebangsaan (CIO) berkata, ia akan bersedia untuk percubaan kedua menangkap Yoon dan memberi amaran bahawa sesiapa yang menghalang boleh ditahan.

CIO dan sebuah unit polis turut menghantar nota kepada pegawai polis berpangkat tinggi di Seoul meminta mereka bersedia untuk menggerakkan 1,000 penyiasat bagi percubaan baharu itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini