comscore
Tumpuan :
Dunia

1MDB: Roger Ng nak jumpa keluarga, minta tangguh penjara 

Roger Ng minta tangguh penjara, nak jumpa keluarga. – FOTO: Reuters

NEW YORK: Bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs, Roger Ng yang didapati bersalah kerana terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  meminta hakim menangguhkan permulaan hukuman penjara 10 tahun atas alasan memerlukan tiga bulan untuk membenarkan isteri dan anak perempuannya tiba di New York dari Malaysia, lapor Bloomberg.

Hakim Margo Brodie menjatuhkan hukuman itu 9 Mac lalu dan memerintahkan Ng menyerah diri kepada pegawai penjara persekutuan, 4 Mei ini.

Peguam pembelanya, Marc Agnifilo pada Jumaat bagaimanapun meminta mahkamah membenarkan Ng menangguhkan hukuman penjara itu sehingga Ogos depan.

Agnifilo berkata, Ng tidak pernah melihat anak perempuannya, yang kini berusia 10 tahun, selama lebih empat tahun,  sejak dia ditangkap di Malaysia pada 2018.

Ng, yang bersetuju diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi perbicaraan di New York pada awal 2019, juga menghadapi pendakwaan di Malaysia sebaik sahaja dia dibebaskan, kata Agnifilo.

“Disebabkan tempoh masa yang Ng habiskan dengan anak kecilnya dan tempoh hukumannya, kami dengan hormatnya memohon supaya Ng dapat menghabiskan dua bulan bersama keluarganya sebelum dia menyerah diri,” kata Agnifilo.

Peguam itu berhujah anak guamnya bebas dalam tahanan rumah dan pemantauan elektronik sejak majistret persekutuan di Brooklyn bersetuju membebaskannya dengan jaminan AS$20 juta (kira-kira RM89 juta) pada Mei 2019 dan tidak pernah melanggar syarat pembebasannya.

Agnifilo berkata, pendakwa raya membantah penangguhan itu.

John Marzulli, jurucakap kepada Peguam Daerah Brooklyn Amerika Syarikat, Breon Peace, enggan mengulas mengenai permintaan Ng.

Loading...
Terkini