
OAXACA: Sebuah bas penumpang terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di lebuh raya selatan Mexico semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 18 nyawa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Oaxaca, Jesus Romero, memaklumkan kejadian berlaku di Lebuhraya Mitla-Tehuantepec, kira-kira 200 meter dari pintu masuk komuniti Santo Domingo Narro.
Rakaman udara menunjukkan bas yang remuk di dasar gaung, manakala pasukan penyelamat, termasuk bomba dan paramedik, giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Bomba Oaxaca, Jorge Rivas, pada awalnya melaporkan 12 kematian, namun angka itu meningkat selepas lebih banyak mangsa ditemui.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelamat Sukarela, Elias Omar, berkata pihaknya sedang meneliti kemungkinan pemandu tertidur atau hilang kawalan kerana laluan tersebut berbukit.
Punca nahas masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.