Tumpuan :
Dunia

17 cedera dalam serangan Rusia di timur Ukraine

Foto fail Reuters

KYIV: Sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk seorang anggota penyelamat di bandar Kryvyi Rih di bahagian timur Ukraine, cedera selepas Rusia melancarkan serangan udara secara besar-besaran ke atas negara itu sepanjang malam bagi menyasarkan Kyiv dan wilayah barat Lviv.

Menurut pentadbiran tentera bandar itu menerusi platform Telegram, kira-kira 10 dron berjaya dimusnahkan berhampiran Kyiv.

Namun menurutnya, tiada laporan mengenai kemusnahan atau kecederaan.

Amaran serangan udara diisytiharkan dua kali di ibu negara itu pada waktu malam, dengan setiap amaran berlangsung kira-kira tiga jam secara keseluruhan.

Wilayah Lviv berhampiran sempadan Poland turut menjadi sasaran serangan dron, namun tiada kerosakan dilaporkan setakat awal hari ini.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Ukraine, turut mengesahkan serangan Russia turut menyasarkan bandar Kryvyi Rih, kira-kira 400 kilometer (km) di tenggara Kyiv, mencederakan 17 orang, termasuk seorang anggota penyelamat.

Menurutnya melalui platform Telegram, lapan daripada mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital.

Kementerian itu menyatakan bahawa sebahagian bangunan pentadbiran bandar musnah dan beberapa bangunan kediaman serta kereta turut rosak.

“Kebakaran juga berlaku, sekaligus merosakkan peralatan perkhidmatan kecemasan,” katanya.

Kementerian itu turut memuat naik gambar perkhidmatan kecemasan merawat mangsa yang cedera.

Sementara itu, tiada sebarang reaksi balas daripada Russia berhubung serangan terbabit.

Kedua-dua pihak menafikan menyasarkan orang awam dalam peperangan yang dimulakan oleh Moscow dengan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine sejak Februari 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini