Tumpuan :
Dunia

15 maut, 10 cedera dalam insiden rempuhan di Festival Keagamaan di India

FOTO: Reuters

PRAYAGRAJ: 15 orang maut dan sekitar 10 lagi cedera dalam kejadian rempuhan dalam Festival Keagamaan di negeri Uttar Pradesh, utara India, pada hari Rabu.

Rakaman dron menunjukkan jutaan penganut berdiri dan tiba sebelum subuh bagi upacara itu.

Video dan gambar selepas kejadian menunjukkan mayat dibawa pergi menggunakan pengusung, sementara beberapa orang duduk sambil menangis, manakala yang lain melangkah di atas timbunan barang-barang yang ditinggalkan oleh orang ramai yang cuba melarikan diri daripada rempuhan.

Rempuhan awal yang berlaku sekitar jam 1 pagi waktu tempatan (1930 GMT) “tidak serius”, tetapi puncanya masih tidak jelas.

Bagaimanapun, saksi mendakwa orang ramai yang cuba melarikan diri terperangkap dalam rempuhan lain di pintu keluar.

Mereka kemudian berpatah balik ke jambatan untuk mencari jalan keluar lain, tetapi mendapati ia telah ditutup oleh pihak berkuasa.

“Saya melihat ramai orang jatuh dan dipijak oleh orang ramai… ramai kanak-kanak dan wanita yang terpisah serta menangis meminta pertolongan,” kata seorang saksi

Pasukan Tindakan Pantas (Rapid Action Force, RAF) – unit khas yang dipanggil dalam situasi krisis – telah dikerahkan untuk mengawal keadaan dan usaha menyelamat sedang dijalankan, kata pegawai.

Perdana Menteri Narendra Modi telah bercakap dengan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, dan menggesa “langkah sokongan segera”, lapor agensi berita ANI.

Festival ini adalah perhimpunan terbesar manusia di dunia, telah menyaksikan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang luar biasa setiap hari dengan hampir 148 juta orang mengunjunginya sejak ia bermula dua minggu lalu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini