![](https://media.buletintv3.my/2025/02/santorini-greece.jpg)
GREECE: Sekitar 1,440 gempa bumi menggegarkan Pulau Santorini, Greece sejak 1 Februari 2025, menurut catatan Institut Geodinamik negara itu.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 440 gempa berkekuatan lebih daripada 3 magnitud manakala 73 gempa melebihi 4 magnitud.
Pulau pelancongan terkenal itu turut mencatatkan 45 gempa pada hari Rabu (5 Februari), dengan dua daripadanya berukuran lebih 4 magnitud dan 10 lagi melebihi 3 magnitud.
Susulan gegaran ini, kerajaan Greece telah mengadakan mesyuarat kecemasan di Athens yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis. Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Perlindungan Awam Vassilis Kikilias dan beberapa pakar seismologi.
Dalam mesyuarat itu, Efthymios Lekkas, ahli geologi terkemuka yang mengetuai Organisasi Perancangan dan Perlindungan Gempa (OSAP), memberi amaran mengenai risiko tinggi berlakunya tanah runtuh di pulau peranginan itu.
Namun begitu, pakar geofizik dan seismologi terkemuka, Kostas Papazachos, menyatakan bahawa aktiviti seismik nampaknya mula berkurangan. Beliau menggesa penduduk Santorini agar kekal tenang.
Selepas mesyuarat tersebut, Perdana Menteri Mitsotakis menyatakan bahawa pada masa ini, kerajaan Greece berasa sedikit lebih optimis berbanding sebelumnya. ANTARANEWS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.