Tumpuan :
Dunia

14 maut dalam serangan udara Israel di Gaza

Seorang remaja Palestin yang cedera dalam serangan Israel memerhatikan keadaan sekeliling di Hospital Al-Ahli, di Bandar Gaza. FOTO: Reuters

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Nuseirat dan bandar Deir Al-Balah di Gaza tengah, yang kin semakin kerap menyasarkan rumah penduduk.

Menurut petugas perubatan, serangan itu disasarkan ke atas dua kediaman di lokasi berkenaan, menyebabkan keseluruhan anggota keluarga yang tinggal di sana terbunuh atau cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan serangan dahsyat dan berterusan dilakukan ke atas Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, dengan menggunakan kekerasan luar biasa tanpa sebarang amaran awal.

“Serangan bom dilakukan menggunakan bahan letupan dan tembakan kereta kebal, secara langsung menyasarkan kami ketika berada di dalam jabatan hospital,” katanya.

Hospital itu adalah salah satu daripada tiga kemudahan perubatan yang hampir tidak beroperasi di kawasan utara wilayah terbabit sejak serangan tentera Israel Oktober tahun lalu.

Sementara itu, sumber melaporkan kepada Reuters bahawa korban turut berlaku ketika tentera Israel menyerang hospital terbabit yang terletak di Beit Lahiya dengan dua bahan letupan.

Sumber memaklumkan, bahan letupan itu turut menyebabkan kemusnahan besar pada kediaman yang berdekatan dengan hospital.

Katanya, beberapa individu juga dilaporkan cedera selepas serangan Israel terhadap makmal hospital terbabit.

“Selain itu, tentera Israel turut menyasarkan jabatan mekanikal, menyebabkan kecederaan kepada pekerja di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, rakaman eksklusif dari dalam hospital menunjukkan ramai pesakit mencari perlindungan dengan tidur di koridor.

Petugas perubatan turut meminta bantuan, tetapi tiada mana-mana pihak dapat mendekati kawasan itu di Beit Lahiya akibat serangan yang berterusan.

Pengarah hospital, Dr Hossam Abu Safia, berkata pihaknya memohon perlindungan segera, namun masih belum menerima maklum balas sewajarnya daripada pertubuhan perubatan.

Beliau berkata, komunikasi antara hospital dan Kementerian Kesihatan Gaza juga terputus, menunjukkan risiko peningkatan ketegangan.

Katanya, sehingga kini tiada proses pemindahan dilakukan di hospital berkenaan.

“Tentera Israel menyasarkan Hospital Kamal Adwan menggunakan pelbagai jenis senjata tanpa sebarang amaran awal. Kami diserang secara langsung, termasuk di unit rawatan rapi (ICU), jabatan bersalin dan kejururawatan.

“Pengeboman ini dilakukan dengan tembakan kereta kebal dan dron, secara langsung menyasarkan kami di dalam hospital.

“Kami dimaklumkan bahawa operasi hospital akan dipindahkan dalam masa terdekat. Ini adalah bencana kerana kami satu-satunya hospital yang menyediakan perkhidmatan di kawasan utara ini,” katanya.

Beliau berkata, pemindahan operasi hospital adalah sukar kerana ia kini merawat 66 pesakit, selain perlu memindahkan semua fasiliti hospital dan kakitangan perubatan.

“Kami meminta dunia campur tangan segera untuk melindungi sistem penjagaan kesihatan daripada serangan kejam ini.

“Selama lebih sejam, pengeboman masih berterusan. Kami mahu dunia bertanggungjawab atas malapetaka ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini