INDONESIA: 13 gudang musnah dalam kebakaran di Kawasan Pergudangan Pantai Indah Dadap, Tangerang, Banten sejak petang semalam.
“Jumlah keseluruhan adalah kira-kira 13 bangunan / gudang yang terbakar, jumlah ini bertambah kerana api merebak ke bangunan sekitarnya,” kata Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Tangerang, Ujat Sudrajat.
Beliau menjelaskan bahawa dalam usaha menangani kejadian kebakaran tersebut, pihaknya telah mengerahkan sebanyak 48 anggota bomba dengan lapan jentera pemadam api.
“Untuk anggota, jumlahnya seramai 48 orang dan 8 unit kenderaan Bomba yang juga dibantu oleh pihak kawasan pergudangan,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa sehingga pukul 22.20 WIB, keadaan api yang memusnahkan belasan gudang masih belum padam.
Menurut Ujat, semasa operasi pemadaman oleh petugas bomba, mereka menghadapi cabaran tiupan angin kuat di kawasan tersebut. Ini menyebabkan api cepat marak dan sukar dipadamkan.
“Pertama, angin yang kuat menyebabkan api merebak dengan lebih cepat. Kemudian, akses ke dalam masih belum boleh dilakukan. Jadi, pemadaman dilakukan dari luar sahaja, belum boleh terus ke titik api,” katanya.
Tambah beliau, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik di dalam bangunan terbabit.
Beliau pada masa sama turut mengesahkan tiada mangsa meninggal dunia atau cedera. – ANTARANEWS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.