Tumpuan :
Dunia

126 disahkan maut akibat gempa bumi di Tibet

FOTO: Reuters

TIBET: Sekurang-kurangnya 126 orang terkorban dan ribuan bangunan rosak akibat gempa bumi yang melanda kawasan terpencil di wilayah Tibet, China pada Selasa.

Gegaran turut dirasai di ibu negara Nepal, Kathmandu serta beberapa bahagian India.

Menurut laporan media rasmi, gempa bumi yang berlaku pada kira-kira jam 9 pagi (0100 GMT) itu melanda daerah Tingri, yang terletak sekitar 80 kilometer di utara Gunung Everest, berhampiran sempadan China-Nepal.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) mengukur magnitud gempa tersebut pada 6.8, sementara Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan magnitud 7.1.

Rakaman video yang disiarkan oleh CCTV menunjukkan rumah-rumah musnah dengan dinding yang runtuh dan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengharungi runtuhan untuk menyelamatkan mangsa.

FOTO: Reuters

Suhu di kawasan tersebut dilaporkan berada di bawah paras beku, menyebabkan pasukan penyelamat memberikan selimut tebal kepada penduduk yang terperangkap.

Setakat ini, 188 orang dilaporkan cedera, dengan 28 daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke hospital untuk rawatan.

Selain itu, 3,609 rumah dilaporkan runtuh akibat gegaran tersebut.

Pihak berkuasa tempatan sedang berusaha untuk memberikan bantuan kecemasan dan mengesan lebih banyak mangsa yang masih terperangkap.-AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini