GAZA: Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan 120 mayat ditemui dalam dua hari selepas gencatan senjata berkuatkuasa.
Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat perang Israel-Hamas di wilayah itu meningkat kepada 47,107 mangsa.
Namun, angka sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi susulan lebih banyak mangsa yang maut terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan serangan tanpa henti Israel menghalang usaha membawa mereka keluar sebelum ini.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa Ahad lalu menghentikan pertempuran selama lebih 15 bulan di wilayah Palestin itu dan selain kematian, mangsa yang cacat anggota badan juga agak ramai, terutama kanak-kanak dan wanita.
Ramai yang cedera akhirnya menemui ajal kerana sistem kesihatan di Gaza kini musnah dan menurut salah satu kenyataan kementerian terbabit, 72 mayat diterima di sebuah hospital dalam tempoh 24 jam.
“Sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya, dengan ambulans serta pasukan perlindungan awam tidak ada akses kepada mereka,” katanya.
Kementerian itu berkata, jumlah yang cedera mencecah 111,147 mangsa sejak bermulanya perang pada 7 Oktober 2023.
Kementerian meminta keluarga orang yang terbunuh atau hilang dalam perang untuk mendaftar secara dalam talian bagi membantu dalam pengecaman mayat dan untuk menyusun angka kematian yang lebih tepat.
Israel kerap mempersoalkan kredibiliti tokoh-tokoh kementerian itu, biarpun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap mereka boleh dipercayai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.