Tumpuan :
Dunia

12 paramedik, sukarelawan terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

Foto fail Reuters

BEIRUT: Serangan udara Israel ke atas beberapa bandar di daerah Tyre, selatan Lubnan pada Sabtu mengorbankan 12 paramedik dan sukarelawan pertahanan awam manakala tiga yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, pesawat tempur menyasarkan bandar Deir Qanoun Ras Al-Ain di daerah Tyre, menyebabkan enam anggota Pengakap Islam iaitu sukarelawan yang terlibat dalam operasi perubatan kecemasan dan pertahanan awam — serta seorang paramedik daripada Persatuan Kesihatan Islam, terkorban.

Serangan di Deir Qanoun Ras Al-Ain turut mengakibatkan seorang orang awam terbunuh dan 12 lagi cedera.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa serangan udara di bandar Ain Baal di Tyre mencederakan tiga anggota Pengakap Islam.

Seramai lima lagi anggotanya dilaporkan terbunuh dalam serangan udara di bandar Hanouiyeh di Tyre, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan.

Kementerian mengutuk tindakan Israel yang terus menyasarkan paramedik dan disifatkan sebagai “jenayah perang berterusan yang tidak dihalang oleh komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi mencegah keganasan dan pembunuhan beramai-ramai.”

Kementerian Kesihatan juga melaporkan serangan udara Israel di kejiranan Al-Midan di Nabatieh mengakibatkan 12 orang cedera.

— BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini