ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala empat yang lain cedera dalam letupan kuat di loji bahan letupan di barat laut Turkiye.
Rakaman menunjukkan serpihan kaca dan logam bertaburan di luar loji berkenaan.
Gabenor tempatan, Ismail Ustaoglu, berkata berdasarkan laporan awal, 12 pekerja meninggal dunia dan empat dibawa ke hospital dengan kecederaan akibat letupan itu.
“Semoga Allah merahmati rakyat kita yang meninggal dunia dan cepat sembuh kepada yang cedera,” katanya.
Letupan pada jam 8.25 pagi waktu tempatan itu berlaku di bahagian loji yang menurut pegawai tempatan runtuh akibat letupan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, punca letupan masih belum diketahui dan pihak berkuasa menolak tindakan sabotaj.
“Kami sedang mencari punca kejadian itu,” katanya.
Pihak pendakwa raya sudah melancarkan siasatan menyeluruh.
Loji berkenaan yang terletak di utara Balikesir, membuat peluru dan bahan letupan serta suar untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Turkiye menjadi pengeksport pertahanan utama, terutama untuk dron dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan penyokong utama industri itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.