Tumpuan :
Dunia

12 lagi pegawai pemerhati kerajaan dipecat Trump

FOTO: Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump memecat sekurang-kurangnya 12 lagi pegawai badan pemerhati kerajaan lewat Jumaat malam, satu tindakan yang mungkin melanggar undang-undang dan cabaran di mahkamah.

Bercakap dari Dewan Senat pada Sabtu, pemimpin minoriti Senat, Chuck Schumer menyifatkan pemecatan itu sebagai “pembersihan yang menggerunkan”.

Schumer, seorang Demokrat dari New York menyifatkan, pemecatan ini adalah cara Donald Trump memberitahu dia gentar pada kebertanggungjawaban dan bersikap bermusuhan terhadap fakta dan ketelusan.

Sehingga kini, White House belum mengesahkan pemecatan terbabit dan tidak menjawab pertanyaan diajukan media tempatan.

Menurut CBS News, pegawai badan pemerhati kerajaan yang terlibat menerima emel pengarah kakitangan Presiden pada tengah malam Jumaat menyatakan, “Disebabkan perubahan keutamaan, jawatan anda sebagai pegawai pengawasan… telah ditamatkan, berkuat kuasa serta-merta”.

Kumpulan pegawai yang dipecat termasuk pegawai pengawasan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) serta pegawai pengawasan Pentadbiran Perniagaan Kecil.

The New York Times pula melaporkan, terdapat pelbagai senarai pegawai yang dipecat dikatakan merangkumi pegawai di jabatan pertanian, perdagangan, pertahanan, pendidikan, perumahan dan pembangunan bandar, dalam negeri, buruh, pengangkutan, hal ehwal veteran dan juga di agensi perlindungan alam sekitar.

Tindakan pemecatan ini mungkin melanggar undang-undang yang menghendaki White House memberikan notis 30 hari dan maklumat khusus kepada Kongres sebelum memecat seorang pegawai pengawasan Persekutuan.

Sementara itu, beberapa penggubal undang-undang Republikan termasuk Senator Chuck Grassley dari Iowa dan Senator Susan Collins dari Maine juga menyatakan kebimbangan terhadap tindakan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini