MUZAFFARABAD: 11 maut, 13 lagi cedera dalam runtuhan salji yang melanda utara Pakistan.
Ketika kejadian, suku kaum masyarakat nomad sedang menyeberangi pergunungan di utara Pakistan pada ketinggian 4,420 meter dari paras laut, menghubungkan daerah Astore di wilayah Gilgit-Baltistan ke lembah Kashmir.
Agensi pengurusan bencana Pakistan menerusi kenyataan berkata semua mayat sudah ditemui.
Manakala mangsa yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak yang kritikal dibawa ke hospital tempatan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dalam kenyataan berkata, tragedi seumpamanya meningkat sejak kebelakangan ini ekoran kesan perubahan iklim.
Beliau, antara lain, menyeru masyarakat antarabangsa menunaikan tanggungjawab untuk menyelamatkan negara membangun yang berdepan cabaran ekonomi akibat kesan buruk perubahan iklim.
Pakistan sejak beberapa tahun lalu, merekodkan hujan monsun dan pencairan glasier di pergunungan utara, sekali gus menjadi antara 10 negara paling berisiko menghadapi bencana alam akibat perubahan iklim.