comscore
Tumpuan :
Dunia

104 penduduk Palestin maut ketika menunggu bantuan

KAHERAH: Pihak Berkuasa Kesihatan di Gaza hari ini berkata, bedilan Israel ke atas orang yang menunggu bantuan berhampiran Bandar Gaza mengakibatkan 104 rakyat Palestin terbunuh serta mencederakan 280 yang lain.

Dalam pada itu, sebuah hospital menyatakan pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera.

Jurucakap tentera Israel bagaimanapun berkata, pihaknya tidak tahu mengenai bedilan di lokasi yang dinyatakan.

Tentera kemudian berkata, berpuluh-puluh orang cedera akibat ditolak dan dipijak apabila trak bantuan tiba di utara Gaza.

Sumber Israel berkata, tentera melepaskan tembakan ke arah ‘beberapa orang’ dalam kumpulan yang menimbulkan ancaman kepada mereka.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata beliau mengutuk pembunuhan jelik beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel pagi tadi terhadap orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan Nabulsi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra, berkata kejadian itu berlaku di bulatan Al-Nabusi di barat Bandar Gaza di bahagian utara kawasan berkenaan.

Menurut Qidra, pasukan perubatan tidak dapat menampung jumlah dan kecederaan teruk daripada berpuluh-puluh orang yang cedera yang tiba di Hospital Al-Shifa.

Ketua Hospital Kamal Adwan di Bandaraya Gaza, Hussam Abu Safieyah, berkata pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera akibat insiden di barat bandar itu.

“Kami tidak tahu berapa ramai pesakit tiba di hospital lain,” katanya kepada Reuters melalui telefon.

Dalam pada itu, Hamas dalam satu kenyataan memberi amaran, insiden itu boleh membawa kepada kegagalan rundingan yang bertujuan mencapai kesepakatan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

“Rundingan yang dijalankan oleh kepimpinan gerakan itu bukan proses terbuka dengan mengorbankan darah rakyat kita,” katanya yang merujuk kepada kematian hari ini dan mengatakan Israel akan bertanggungjawab atas sebarang kegagalan rundingan itu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini