OREBRO: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah pusat pendidikan di Orebro pada Selasa menjadikannya serangan bersenjata paling dahsyat dalam sejarah Sweden.
Polis mengesahkan bahawa suspek utama dipercayai turut terbunuh dalam kejadian itu.
Ketua Polis Orebro, Roberto Eid Forest, dalam satu sidang media, menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa serta punca kejadian.
“Kami kini mengetahui bahawa kira-kira sepuluh orang telah kehilangan nyawa dalam kejadian ini. Namun, kami belum dapat memberikan maklumat lebih terperinci kerana terdapat ramai mangsa yang masih cedera,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyiasat sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan motif serangan.
“Buat masa ini, kami percaya bahawa suspek bertindak bersendirian, namun kami tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang terlibat,” jelas beliau.
Pihak polis juga mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah terancang. Siasatan telah dibuka di bawah kesalahan membunuh, membakar serta kesalahan senjata yang berat.
Insiden itu berlaku di Kampus Risbergska, sebuah pusat pendidikan untuk golongan dewasa dan turut menempatkan sekolah-sekolah lain bagi pelajar muda.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, dalam satu sidang media sebelum ini, mengutuk kejadian tersebut sebagai satu hari yang menyakitkan bagi Sweden dan menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan siasatan menyeluruh bagi memahami punca kejadian.
Beliau turut menegaskan bahawa insiden itu melibatkan keganasan kejam terhadap orang awam yang tidak bersalah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.