BOGOTA: Seramai 10 orang, termasuk lima sekeluarga, terkorban apabila sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan luar bandar Urrao, Antioquia, barat laut Colombia, Rabu lalu, lapor agensi antarabangsa.
Pesawat yang dikendalikan Pacifica Travel itu dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Juradó, wilayah Chocó, menuju ke Medellín sebelum ditemukan terhempas.
Pesawat tersebut membawa dua kru dan lapan penumpang, termasuk tiga kanak-kanak.
Gabenor Antioquia, Andrés Julián Redon, mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu. Pengarah Jabatan Pengurusan Risiko Antioquia, Carlos Rios Puerta, berkata pasukan penyelamat seramai 37 anggota sedang giat menjalankan operasi pemulihan, namun cuaca buruk menyukarkan usaha tersebut.
Siasatan telah dilancarkan oleh pihak berkuasa penerbangan awam bagi mengenal pasti punca nahas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.