PESHAWAR: 10 tentera dilaporkan terkorban, manakala tujuh lagi cedera dalam satu serangan malam tadi.
Menurut media tempatan yang memetik sumber risikan, ia berlaku sehari selepas satu lagi serangan di wilayah sempadan Afghanistan, meragut lapan nyawa.
“Seorang suspek pengebom meletupkan kenderaan yang sarat bahan letupan berhampiran pusat pemeriksaan.
“Rakannya pula melepaskan tembakan selepas itu.
“Berdasarkan maklumat terkini, 10 orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan itu,” kata seorang pegawai perisikan mengenai serangan terbaharu di Bannu itu.
Menurut pegawai itu, letupan terbabit menyebabkan kerosakan besar pada struktur pusat pemeriksaan Mali Khel serta kenderaan tentera.
Kumpulan bersenjata Hafiz Gul Bahadur mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Difahamkan, insiden bom itu berlaku kurang daripada 24 jam selepas satu lagi serangan di wilayah barat laut Khyber-Pakhtunkhwa.
Isnin lalu, pertempuran di kawasan Tirah wilayah itu menyebabkan lapan askar dan sembilan pejuang terbunuh.
Kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), yang turut dikenali sebagai Taliban Pakistan, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.