Tumpuan :
Dunia

10 orang terperangkap dalam empangan di India berjaya diselamatkan

Foto: PTI

NEW DELHI: Sepuluh individu yang terperangkap dalam takungan empangan di Himachal Pradesh, telah berjaya diselamatkan pada pagi Isnin, lapor Xinhua.

Pegawai berkata usaha menyelamat mangsa yang terperangkap segera dimulakan dan operasi selesai sekitar 3.00 pagi waktu tempatan pada Isnin.

“Bot bermotor yang membawa 10 orang, termasuk pegawai Jabatan Hutan, terperangkap di stesen janakuasa Hidro Koldam di Mandi. Pasukan Tindakan Bencana Kebangsaan (NDRF) berjaya menarik bot keluar dengan bantuan pihak berkuasa Pengawal Empangan dan menyelamatkan mereka,” menurut agensi tindak balas bencana India dalam satu kenyataan.

Paras air di empangan itu meningkat berikutan hujan berterusan di kawasan tadahan.

Minggu lalu, kejadian tanah runtuh, ribut petir, banjir kilat dan kediaman musnah akibat hujan lebat di Himachal Pradesh mengorbankan lebih 70 nyawa.

Menurut pusat operasi kecemasan Himachal Pradesh sehingga petang Ahad, 341 orang terbunuh manakala 327 yang lain cedera sejak 24 Jun. Selain itu, 38 orang dilaporkan hilang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan lebat di Uttarakhand, Himachal Pradesh dan barat laut Uttar Pradesh bagi tempoh dua hari akan datang. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini