MONROVIA: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di Monrovia, Liberia pada Isnin apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong Joseph Boakai yang memenangi Pilihan Raya Presiden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan media, orang ramai sedang meraikan peralihan kuasa di ibu pejabat Parti Perpaduan Boakai apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh mereka.
Akhbar tempatan Liberian Observer dan portal berita Front Page Africa yang memetik saksi kejadian melaporkan 10 orang terbunuh dan 20 lagi cedera.
Motif kejadian tidak dapat dipastikan dan pemandu kereta itu melarikan diri dengan motosikal.
Kejadian itu berlaku tidak lama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya presiden yang berlangsung pada 14 Oktober.
Menurut keputusan itu, penyandang yang juga bekas pemain bola sepak dunia Geoge Weah tewas apabila memperoleh 49.4 peratus undi manakala Boakai mendapat 50.6 peratus. – BERNAMA-dpa