Tumpuan :
Dunia

1 maut, 3 cedera dalam nahas pesawat kargo terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Vilnius

FOTO: REUTERS

VILNIUS: Seorang maut dan tiga cedera apabila sebuah pesawat kargo DHL merempuh sebuah rumah ketika mahu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vilnius di Lithuania, awal pagi tadi.

Penerbangan itu dikendalikan oleh syarikat penerbangan SWIFT bagi pihak DHL dan berlepas dari Leipzig, Jerman sebelum pesawat itu terhempas sekitar jam 3.30 pagi waktu tempatan, kata jurucakap Pusat Pengurusan Krisis Nasional kerajaan.

Bagaimanapun, semua penghuni dalam rumah itu terselamat, kata jurucakap itu.

Jurucakap lapangan terbang pula berkata, pesawat itu adalah Boeing 737-400.

Polis dalam sidang akhbar memaklumkan 12 orang sudah dipindahkan dari rumah yang dirempuh pesawat itu.

Perkhidmatan penyelamat berkata, pesawat itu terhempas ke tanah dan tergelincir sekurang-kurangnya 100 meter sebelum merempuh ke dalam bangunan.

Ketua pusat pengurusan krisis negara berkata, punca nahas sedang disiasat.

Anggota bomba pada jam 5.30 pagi waktu tempatan dilihat mencurah air ke bangunan berasap kira-kira 1.3 kilometer (0.8 batu) di utara landasan lapangan terbang di ibu negara Lithuania.

Kelihatan kehadiran anggota polis dan ambulans berada di kawasan berhampiran dan beberapa jalan utama berdekatan ditutup.

Penerbangan itu berlepas dari Leipzig pada jam 2.08 pagi, kata Flightradar24 di platform media sosial X. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini