comscore
Tumpuan :
Dunia

1.3 juta kg ikan tilapia blackchin ditangkap di Thailand, ancam industri penternakan ikan

Ikan tilapia blackchin memberi ancaman kepada ekosistem di sungai, paya dan terusan.- Foto ihsan Jabatan Perikanan Thailand

BANGKOK: Sekitar 1.3 juta kilogram (kg) ikan tilapia blackchin berjaya ditangkap di Thailand, kata pihak berkuasa perikanannya pada Selasa dalam usaha kerajaan menghapuskan spesies invasif itu.

Ikan tilapia blackchin yang boleh menghasilkan sehingga 500 anak ikan pada satu-satu masa ditemukan di 19 wilayah Thailand.

Ia merosakkan ekosistem di sungai, paya dan terusan, dengan memakan larva ikan kecil, udang dan siput.

Selain kesan ekologi, kerajaan bimbang kesannya terhadap industri penternakan ikan di negara itu.

Nattacha Boonchaiinsawat, Naib Presiden Jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan untuk menangani pembiakan ikan itu berkata, pihak berkuasa perikanan menangkap 1.332 kg ikan tilapia hitam antara Februari dan 28 Ogos lalu.

“Kami bercakap dengan penduduk tempatan dan mendapati penyebaran tilapia semakin teruk , mereka menemukannya di dalam terusan kecil, yang tidak berlaku sebelum ini,” menurut sebuah agensi berita antarabangsa.

Tilapia hitam itu akan membebankan ekonomi Thailand dengan kerugian sekurang-kurangnya 10 bilion baht (kira-kira RM127 juta), kata Nattacha.

Ikan yang berasal dari Afrika Barat itu pertama kali ditemukan di sungai Thailand pada 2010, sebelum membiak dengan cepat pada 2018. Ia kini turut ditemukan di Florida, Amerika Syarikat (AS) dan Filipina.
Julai lalu, Kerajaan Thailand mengisytiharkan pembasmian spesies itu sebagai keutamaan negara dan mula menggalakkan orang ramai memakan ikan berkenaan.

Aktiviti promosi di wilayah Phetchaburi mengiklankan sos ikan dan sosej berasaskan tilapia. Restoran juga menggunakan ikan itu dalam hidangan.

Masih tidak jelas bagaimana ikan itu tiba di Thailand, tetapi laporan media tempatan mengatakan ia mungkin diimport dari Ghana oleh sebuah syarikat tempatan, pada 2010.

Siasatan Parlimen sedang dijalankan untuk menentukan punca serangan itu, kata Nattacha.

Kerajaan Thailand menggalakkan penduduk tempatan menangkap ikan itu, malah menawarkan kepada orang ramai 15 baht (kira-kira RM1.90) bagi setiap sekilogram ikan berkenaan.

Loading...
Terkini