SYRIA: Dianggarkan 1.1 juta orang terpaksa berpindah di seluruh Syria sejak pertempuran antara pasukan rejim Bashar al-Assad yang telah digulingkan dengan kumpulan pembangkang meruncing pada 27 November, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Majoriti daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam laporan situasi terkini mengenai Syria.
Menurut OCHA, hampir 640,000 orang melarikan diri dari wilayah Aleppo, 334,000 dari Idlib, dan 136,000 dari Hama.
Sementara itu, 438,000 orang yang dipindahkan telah tiba di Idlib dari kawasan lain, 170,000 di Hama, dan 123,000 di kawasan luar bandar Damsyik.
Lebih daripada 400,000 orang kini menetap di 240 pusat perlindungan kolektif di kawasan timur laut negara itu, di mana mereka menerima sokongan kemanusiaan seperti makanan, kit kebersihan dan sokongan psikologi.
Hampir 700,000 orang di Aleppo, Idlib, Homs dan Hama telah menerima bantuan makanan sejak permulaan peningkatan keganasan, tambah OCHA. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.