Tumpuan :
Dunia Seni

Siti Saleha kini isteri Joshua Fitton

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, aktres popular, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38, dalam majlis akad nikah secara tertutup di sebuah resort mewah di Janda Baik, Bentong, Pahang, jam 9 pagi tadi.

Majlis akad nikah Siti Saleha dan Joshua disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Baharum Abdul Rahman.

Menerusi majlis ringkas itu, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, dibalas tujuh hantaran oleh pengantin perempuan. Bagaimanapun, mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.
Siti Saleha berkata, tiada detik lebih bermakna buatnya apabila bergelar isteri kepada insan dicintai.

“Alhamdulillah, majlis akad nikah pagi ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala-galanya.

“Selepas lebih tiga tahun hidup bersendirian, akhirnya saya menemui pasangan serasi. Hanya tiga bulan bertunang, saya kini kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

“Saya dan Joshua memiliki banyak persamaan, apatah lagi, kami berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Jadi, kami ‘satu kepala’ dan saling memahami.

“Semoga perkahwinan kedua ini diberkati Allah dan kekal hingga penghujung usia,” katanya lapor BH.

Selepas majlis akad nikah bertemakan rona putih yang hanya dihadiri 40 tetamu dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat, Siti Saleha dan Joshua diraikan pula dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan di lokasi sama, jam 12 tengah hari ini.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan berlangsung secara besar-besaran, minggu hadapan di kampung halaman Joshua di Melaka dengan memilih tema majlis perkahwinan Jawa.

Terdahulu, bintang drama 7 Hari Mencintaiku itu secara terbuka memperkenalkan Joshua sebagai kekasihnya kepada khalayak pada 2022.

Kemudiannya, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada edisi 27, 33 dan 34 itu berkongsi berita gembira mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini