KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mengesahkan dirinya sedang hamil anak ketiga, dengan usia kandungan sudah memasuki 10 minggu.
Nurul Shuhada menerusi entri terbaharu dalam Instagram (IG) berkata kandungannya kini sudah memasuki 10 minggu.
“Saya perlu kuat walaupun sedang berdepan pelbagai tekanan.
“Saya dapatkan rawatan untuk masalah tekanan dan depresi yang dihadapi sekarang. Saya perlu kuat untuk terus jaga Humairah dan Umar. Sekarang termasuk anak dalam kandungan.
“Halangan terbesar sekarang ialah usia kandungan masih awal. Saya tidak boleh ambil ubat hospital untuk kurangkan tekanan.
“Saya takut ia akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Sekarang saya kena kuat berjuang tanpa ubat,” katanya.
Terdahulu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.