KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 tampil dengan kelainan apabila menggandingkan pengacara ‘senior’ dan ‘junior’ mengemudi keseluruhan acara ikonik itu.
Melalui program khas, Mega Live sempena AJL 39, malam kelmarin, TV3 mengumumkan nama yang tidak asing dalam dunia pengacaraan iaitu Nazrudin Rahman yang bakal digandingkan dengan penyanyi dan pengacara, Sissy Imann.
Ini menyaksikan gandingan kali pertama antara dua pengacara berbeza generasi, sekali gus dilihat mampu memberi kesegaran terhadap anugerah ikonik di TV3 itu.
Nazrudin antara pengacara televisyen (TV) berbakat yang dikenali menerusi pengendalian pelbagai program sejak 2001 seperti Kelab Disney Malaysia, Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM), Kata Serasi, My Starz LG, The Breakfast Show dan Malaysia Hari Ini (MHI).
Sissy juga mempunyai pengalaman mengacarakan program hiburan seperti Muzik Muzik termasuk sesi karpet merah untuk AJL 36 bersama Sean Lee pada 2022.
Pengurus Projek AJL 39 yang juga Ketua Unit Produksi, Penjenamaan dan Hiburan TV3, Russell Mark Rodrigues berkata, untuk mencuba perkara baharu dengan pendekatan berbeza, mereka akhirnya sepakat memilih Nazrudin dan Sissy.
Bagaimanapun, Russel mengakui, ia agak sukar dan memerlukan persiapan rapi untuk dua hos itu memperoleh keserasian.
“Kami ingin mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar, walaupun sedar ada risikonya. Namun, pasukan produksi sudah memberikan panduan kepada Nazrudin dan Sissy dengan mengadakan beberapa sesi latihan sebelum malam kemuncak AJL 39.
“Kami juga ada susun beberapa perancangan. Antaranya, mereka dijemput tampil dalam program Melodi dan Muzik Muzik.
“Mereka juga ada menjalani sesi latihan bersama pasukan produksi. Akan ada empat sesi lagi sebelum diteruskan ke sesi pembacaan skrip.
“Ini adalah tanggungjawab penting bagi pihak produksi untuk memastikan gandingan ini berjaya. Setakat ini, kami melihat perkembangan positif antara mereka,” katanya ditemui selepas program khas, Mega Live, malam kelmarin.
Dalam pada itu, Russell berkata, Nazrudin dan Sissy bukanlah pilihan pertama TV3 kerana terdapat beberapa calon lain yang disenarai pendek.
“Saya boleh katakan mereka bukanlah pilihan pertama sebab kami ada beberapa nama lain. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami ingin mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya akui, pembaharuan ini memerlukan masa untuk diterima, tetapi kami akan berusaha keras untuk memastikan gandingan ini memberikan impak terbaik,” katanya.
AJL 39 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Februari depan, jam 9 malam dan juga strim secara HD di www.tonton.com.my.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.