KUALA LUMPUR: Akhirnya Pelakon Tan Sri Michelle Yeoh, 60, dapat memberikan ibunya Datin Janet Yeoh, 84, memegang sendiri trofi kemenangannya di Oscars tempoh hari apabila kini sudah berada di Malaysia.
Michelle ternyata sangat gembira dapat kongsikan trofi itu kepada ibunya yang menjadi tunjang terpenting kejayaannya sampai ke tahap sekarang.
“Bawa pulang Mr O (trofi Oscars). Tanpa kasih sayang dan kepercayaan dan sokongan orang tua saya, saya takkan berada di tahap ini sekarang,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram.
Tidak ketinggalan, Michelle turut membawa trofinya itu melawat kubur bapanya Datuk Yeoh Kian-Teik.
Michelle pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun ibunya, Janet yang sudah menjadi kepulangan wajib saban tahun.
Pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu turut dijadualkan bertemu peminat pada acara karpet merah yang akan berlangsung di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur pada 18 April ini, jam 5 petang.
Difahamkan, orang ramai yang ingin mengikuti acara membabitkan bintang kebanggaan negara itu tidak perlu membuatkan sebarang pendaftaran, sebaliknya hanya terus hadir.
Pada 13 Mac lalu menyaksikan detik bersejarah apabila Michelle menjadi wanita Asia pertama menang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy atau Oscars di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Kemenangan itu menerusi penampilan dalam filem Everything Everywhere All At Once yang turut menang besar pada edisi itu.