Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Hasil sentuhan karya sifu dan lagenda industri muzik tanah air, Datuk M. Nasir bakal mewarnai lagu-lagu tema OST drama dan filem terbitan Rangkaian Media Prima Berhad.
Ia adalah hasil daripada kolaborasi yang julung kalinya dijalinkan Alternate Records Sdn Bhd (ARSB) bersama Syarikat Penerbitan Luncai Emas yang dinaungi Datuk M. Nasir.
Usaha itu sekaligus membuka peluang lebih luas kepada barisan artis naungan ARSB dan kelahiran realiti TV Media Prima untuk mengembangkan karya seni mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, untuk permulaan sebanyak 10 buah lagu bakal dihasilkan oleh Datuk M. Nasir.
“Kita melihat luncai emas sebagai satu partner yang strategik untuk kita wujudkan kolaborasi ini. Ini kerana mereka mempunyai karya yang pelbagai selain karya yang bermutu tinggi.
“Hasil daripada kolaborasi ini juga akan membantu artis-artis baharu dibawah kelahiran raliti TV Media Prima memperoleh peluang menimba ilmu daripada artis legenda yang cukup berpengalaman,”katanya.
Sementara itu, Datuk M. Nasir, turut teruja menjalinkan kerjasama berkenaan setelah sekian lama mencari arena terbaik untuk diterokai bagi mengembangkan lagi karyanya.
Malah, kolaborasi ini juga memberi peluang kepada beliau berkongsi pengalaman kepada pelapis baharu industri muzik tanah air.
Antara barisan artis ARSB yang terlibat dalam kolaborasi ini termasuklah Puteri Khareeza, Hariz Fayahet, Marsha, Hazama, Voice In Public, Shaz TJ dan Syafeek Ikhwan TJ.
Datuk M. Nasir turut bersetuju untuk menghasilkan tiga buah lagu single yang akan dinyanyikan oleh beliau sendiri manakala tujuh lagi lagu bakal dihasilkan untuk artis-artis yang dilahirkan dari program program popular TV3 seperti Lagu Cinta Kita dan Terpaling Juara.