KUALA LUMPUR : “Ratu, cinta hatiku dan isteriku tersayang. Alhamdulillah, perjalanan hidup begitu indah buat saya.”
Demikian luah penyanyi rap yang juga suami kepada Mizz Nina, iaitu Essam Muhammad yang menzahirkan kegembiraan dengan perkahwinannya.
Essam menyifatkan tiada kata yang mampu menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur dipertemukan dengan usahawan dan aktivis kemanusiaan itu.
“Jika lautan adalah dakwat kepada pen juga sudah kering bagi menggambarkan restu dan rahmat yang Allah SWT berikan buat kami berdua.
“Perjalanan ini begitu indah dan penuh makna selepas dikurniakan dengan ketentuan Allah SWT. Begitu sempurna apa yang sudah tertulis buat kami berdua.
Melalui entri Instagram (IG), Essam menyifatkan tiada kata yang mampu menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur dipertemukan dengan Mizz Nina. Foto IG Essam Muhammad
“Kadang-kala Allah mengejutkan kita dengan perancangan-Nya yang melangkaui apa yang kita fikirkan terbaik buat kita,” luahnya melalui entri Instagram (IG).
Sama seperti Mizz Nina, Essam juga berharap ikatan yang dibina akan memberikan manfaat kepada semua pihak dan dirinya dalam bersama-sama menjadi insan yang lebih baik.
Malah, Essam turut berterima kasih di atas kata-kata positif dan sokongan yang diberikan buat mereka berdua.
Kelmarin, Mizz Nina mengumumkan sudah berkahwin dengan penyanyi rap warga negara Amerika Syarikat dan bakal mengadakan satu majlis resepsi perkahwinan tertutup di ibu kota dalam masa terdekat.
Mizz Nina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh sebelum menfailkan perceraian pada 14 Jun 2022.