Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Julung kali, dua penyanyi lagenda, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan memilih Sabah dan Sarawak sebagai lokasi gabungan mereka.
Konsert Sifu dan Aku 38 bakal menyaksikan dua figura guru dan anak murid beradu suara di pentas yang sama.
Datuk Hattan, pelantun lagu Memburu Rindu pastinya menginginkan kelainan setelah sekian lama menjadi anak seni.
Justeru, pemilihan bersama mentornya Datuk M. Nasir bagi siri jelajah konsert di Borneo kali ini, dapat menampilkan perubahan terhadap industri hiburan tanah air.
“Tidak ada orang buat konsert guru dan murid. Ini pertama kali dibuat dan konsert jelajah ini akan berlangsung di seluruh negara tapi kita rasmikan di Kuching, Sabah semua tu jadi benda ni memang saat yang kita amat tunggu-tunggukan,” ujarnya kepada Buletin TV3 semasa ditemui di sidang media Sifu & Aku 38 pada Selasa lalu.
Mengulas mengenai lagu yang bakal dipersembahkan, Datuk M. Nasir berjanji akan menyajikan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai.
“Muzik yang kita bakal persembahkan tu adalah daripada lagu lagu hit yang disukai ramai sejak 38 tahun dulu.
“Saya masih ingat lagu pertama yang saya ciptakan untuk Hattan yang menjadi hit ialah lagu Memburu Rindu. Itu antara lagu yang bakal didendangkanlah, nak tahu selebihnya kena datang ke konsert,” ujarnya berseloroh.
Bagi penggiat seni pastinya mengenali pengarah muzik terkemuka iaitu Rozario Rasul dan Aznan Alias.
Mereka berdua akan bergabung tenaga mengendalikan Konsert ‘Sifu & Aku 38’.
“Ahli muzik teruja sangat masa kita dipanggil untuk berjumpa dan berbincang berkenaan dengan konsert ini. Ianya adalah impian kepada semua ahli muzik,” katanya kepada pemberita.