Norfazilah Mohd Sahir
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpendapat, pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menolak ‘Oktoberfest’ perlulah dihormati semua pihak.
“Saya mungkin boleh jawab sebagai seorang Muslim, Rukun Negara kita ada satu fasal (iaitu) Kesopanan dan Kesusilaan. Sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya dan agama, contohnya Bon Odori atau Oktoberfest yang sebenarnya bukan indigenous (asli) , bukan sebahagaian daripada budaya masyarakat kita asalnya
“Kalaupun ada perbezaan seperti dan menteri dah katakan pandangan beliau saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang ingin tahu pendirian Kementerian Perpaduan Negara terhadap kenyataan Idris agar amalan orang bukan Islam seperti di Bon Odori dan Oktoberfest tidak diraikan.
Menurut beliau, kenyataan diberikan Menteri Agama itu bukanlah satu kesalahan.
Malah beliau berpendapat sebagai seorang Muslim, perayaan dan pesta seperti Bon Odori atau Oktoberfest bukanlah sebahagian budaya masyarakat kita.
“Kalaupun ada perbezaan seperti dan menteri dah katakan pandangan beliau saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing.
“Cumanya kita tidak guna undang-undang untuk sekat kebebasan mana-mana pihak untuk amalkan budaya mereka, jadi saya fikir tak ada salah menteri agama berkata begitu sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang yang jaga authoriti agama,” katanya.
Minggu lalu, Datuk Idris berkata pesta arak itu tidak sepatutnya dibenarkan di Malaysia, dengan dalil bahawa semua pihak harus menghormati undang-undang Malaysia berdasarkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dia berkata walaupun orang bukan Islam tidak dilarang meminum arak, menjadikan ia sebagai perayaan akan membawa kepada masalah sosial.