Oleh Amanda Lopez
Forum Ekonomi Dunia (WEF) memilih Malaysia sebagai lokasi bagi membangunkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat yang pertama ASEAN, dan yang ke-19 di dunia.
Pusat ini juga akan menempatkan ekosistem bertaraf dunia, dengan lebih 60 inisiatif, 300 pakar serta lebih 450 inovator dan perintis teknologi.
Pusat itu akan beroperasi di menara PJH, Putrajaya.
Ia bermatlamat bagi mengerakkan transformasi digital dan teknologi kerajaan serta peralihan tenaga.
Presiden, Forum Ekonomi Dunia, Børge Brende berkata “Bagi saya, golongan muda akan bekerja dengan pusat ini, syarikat pemula dan juga untuk syarikat besar dari Malaysia untuk menerima manfaat menjadi sebahagian rangkaian antarabangsa ini.”
Pusat itu akan diuruskan MyDIGITAL Corporation dengan kerjasasama WEF bagi tempoh masa 3 tahun.
“Ia sebagai platform untuk menyokong pemimpin bukan sahaja dalam merealisasikan manfaat teknologi yang sentiasa berkembang tetapi juga usaha kerajaan untuk rangka kerja dasar baharu, model tadbir urus fleksibel untuk merangsang inovasi sambil menyediakan keselamatan sosial dan perlindungan kepada rakyat” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan majlis pelancaran pusat ini hari ini.
Jelasnya, kerjasama Malaysia dan WEF ini juga adalah tepat pada masanya ketika Malaysia mengembangkan ekonomi digitalnya.