Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Subsidi bahan api bersasar: Pakar cadang kenaikan berkala, salur lebih subsidi tunai 

 

Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: RM55 bilion. Itulah angka yang dipikul kerajaan untuk perbelanjaan subsidi tahun lalu. Produk petroleum khususnya RON95 dan diesel menyumbang lebih 80 peratus atau RM45 bilion ringgit daripadanya.

Lebih membimbangkan, subsidi dijangka terus meningkat sehingga mencecah RM81 bilion tahun ini.

Memasuki 2024, sebilangan besar rakyat terutamanya M40 perlu berdepan hakikat dijangka berlaku perubahan kos harian apabila kerajaan menarik subsidi bahan api.

(Dari kiri) Datuk Khairul Annuar dan Prof. Ong Kian Ming ketika ditemubual BuletinTV3.

BuletinTV3 menemubual Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan Pengarah Program Falsafah, Politik dan Ekonomi, Taylor’s University, Prof. Ong Kian Ming untuk mengupas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar.

“Jadi berapa banyak kerajaan boleh bagi subsidi tidak tahu. Jadi kemungkinan besar rakyat mungkin bayar lebih RM3 setiap liter walaupun dengan (masih ada) subsidi. Saya rasa dengan kerisauan itu M40 pun ada B40 pun ada,” kata Datuk Khairul.

Di sini, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sedang dibangunkan bakal memainkan peranan besar untuk mengenal pasti kumpulan sasar.

PADU akan mengenal pasti isi rumah mengikut pendapatan, lokasi dan komitmen rakyat untuk mendapatkan pandangan pendapatan boleh guna bersih mereka bagi memperuntuk jumlah yang perlu diberikan dalam subsidi.

Untuk melaksanakan subsidi bersasar, pakar menyarankan kerajaan untuk meningkatkan harga petrol secara berkala, seperti 10 sen setiap bulan untuk mengurangkan kesan inflasi.

“Sekarang harga pasaran RM3.50. Mungkin boleh naik sehingga RM2.80. Berhenti di situ, tengok suasana sama ada kesan limpahan atau tidak dan membuat pelarasan selepas itu,” kata Prof. Ong Kian Ming.

Had perbelanjaan subsidi setiap tahun juga perlu ditetapkan walaupun terdapat turun naik harga minyak duinia.

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan penjimatan ini disalurkan kepada rakyat melalui pemberian tunai, pengangkutan awam dan kesihatan. Ini supaya pengguna dapat merasai limpahan daripada pelaksanaan subsidi bersasar meskipun terdapat kenaikan harga petrol.

“Mungkin seorang B40 itu sekarang gunakan RM100 untuk pam petrol dengan menggunakan motor untuk satu bulan. Tetapi jikalau selepas subsidi bersasar ini dilaksana, harga itu naik mungkin naik kepada RM150. Tetapi apa yang dikembalikan kepada kumpulan B40 ini ada RM100. Jadi ada penambahan pendapatan RM50,” kata Prof. Kian Ming.

Pendekatan ini akan membantu kelancaran pengisian petrol serta mengurangkan ketirisan jika perlu mengesahkan identiti pengguna.

“Jadi konsiderasi adalah apabila harga akan naik nanti. Jika kerajaan tetap pegang 50 sen atau RM1 setiap liter, kewangan kerajaan tidak terbeban. Tetapi ikut emosi dan situasi rakyat, kalau harga minyak naik dan ada tambahan subsidi, ia akan kembali seperti sistem pukal sekarang,” kata Datuk Khairul.

Walaupun bukan mudah, ketegasan kerajaan penting supaya tidak terpalit dengan beberapa sisi penangguhan pelaksanaan subsidi bersasar, sejak dibincangkan pada 2010.

Loading...
Terkini