comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung Petronas susut 19% bagi separuh pertama 2024

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Pendapatan Petronas meningkat kepada RM171.7 bilion bagi separuh pertama tahun 2024, berbanding RM169 bilion yang direkod tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan susut sebanyak 19 peratus kepada RM32.4 bilion, terutamanya disebabkan oleh penyahgabungan anak syarikat dan cukai lebih tinggi bagi tempoh dikaji.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata “Petronas mencatatkan prestasi yang membanggakan pada separuh pertama 2024, di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang berterusan dan kelembapan ekonomi global, membuktikan komitmen syarikat terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kekuatan portfolio yang pelbagai.”

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) menurun lima peratus kepada RM54.8 bilion, sejajar keuntungan yang lebih rendah.

Pelaburan modal (CAPEX) pula berjumlah RM25.7 bilion bagi pembangunan dan aktiviti penerokaan dalam perniagaan huluan.

CAPEX domestik pula meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah aset juga meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023, disumbang pelaburan modal dalam tempoh kewangan.

Sumbangan dividen syarikat minyak dan gas negara itu juga mencecah RM12 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

Sejak penubuhannya 50 tahun lalu, Petronas telah menyuntik RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai dan pembayaran tunai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini