comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih TM melonjak RM1.14 bilion

Telekom Malaysia Bhd (TM)

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) melonjak kepada RM1.14 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022) daripada RM895.21 juta yang dicapai pada tahun kewangan 2021 (FY2021), berikutan keuntungan operasi yang lebih tinggi dan kos pembiayaan yang lebih rendah.

Hasil meningkat kepada RM12.12 bilion pada FY2022 daripada RM11.53 bilion sebelumnya, kata kumpulan telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Hasil operasi kumpulan meningkat 5.1 peratus kepada RM12.12 bilion daripada RM11.53 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya; peningkatan yang direkodkan daripada Internet dan multimedia, data, perkhidmatan bukan telekomunikasi, serta suara.

“Walaupun kos susut nilai yang lebih tinggi pada tahun kewangan semasa daripada semakan kumpulan dalam hayat guna untuk rangkaian tertentu dan elemen ‘last-mile’ termasuk kabel gentian optik, pertumbuhan hasil tahun ke tahun (y-o-y) yang kukuh menghasilkan peningkatan 22.9 peratus kepada keuntungan operasi kumpulan sebelum kos kewangan, dilaporkan pada RM2.08 bilion berbanding RM1.7 bilion pada 2021,” katanya.

Pada suku keempat FY2022, keuntungan bersih TM meningkat kepada RM160.18 juta berbanding RM79.94 juta yang dicatatkan pada suku yang sama FY2021, manakala hasil turun 5.5 peratus kepada RM2.98 bilion daripada RM3.15 bilion sebelumnya, berikutan penurunan daripada lain-lain perkhidmatan berkaitan telekomunikasi, suara dan data.

Mengenai prospek, TM berkata ia akan terus melabur dan mengukuhkan momentum dalam perniagaan terasnya dan bidang pertumbuhan baharu yang melangkaui kesalinghubungan.

Dalam meningkatkan kelebihan daya saingnya, kumpulan itu telah memulakan penyusunan semula dalaman yang melibatkan pemindahan perniagaan telekomunikasinya di Malaysia kepada satu entiti operasi tunggal, TM Technology Services Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Webe Digital Sdn Bhd, dijangka selesai menjelang 31 Dis, 2023.

“Penyusunan semula dalaman yang merangkumi Unifi, TM One dan TM Global, akan mengukuhkan kedudukan penumpuan mudah alih tetap TM, meningkatkan lagi kecekapan operasi dan memberikan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan,” katanya.

Di sebalik kos teknologi yang lebih tinggi dan pembangunan industri dari segi dasar kawal selia dan 5G, TM berkata pihaknya berhati-hati terhadap halangan ekonomi yang mungkin membawa kepada pertumbuhan pasaran yang lebih perlahan dan perbelanjaan oleh pelanggan, perniagaan dan sektor awam.

BERNAMA

Loading...
Terkini