KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia meraih pendapatan sebanyak RM213.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berakhir 30 September 2023, meskipun berdepan persekitaran industri dan ekonomi yang mencabar.
Dalam satu kenyataan, Media Prima berkata hasil pengiklanan kekal stabil, mencapai RM174.7 juta bagi suku dikaji, setanding dengan suku sebelumnya yang berakhir pada 30 Jun 2023.
Ia berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan meningkat sebanyak 73 peratus kepada RM13.9 juta berbanding suku sebelumnya disumbang oleh pendapatan operasi lain yang lebih tinggi.
“Jenama terkemuka, jangkauan yang luas dan kandungan inovatif Media Prima terus bergema bersama penonton dan pengiklan. Dalam tempoh kajian, perniagaan penerbitan kumpulan, diwakili oleh The New Straits Times Press (NSTP), mencatatkan peningkatan dalam hasil pengiklanan dan percetakan, membawa kepada peningkatan 11 peratus dalam jumlah pendapatan segmen.
“Media Prima OMNiA dan REV Media Group juga melaporkan peningkatan dalam hasil berbanding suku sebelumnya. Hasil perniagaan pengiklanan-luar-rumah kumpulan adalah setanding berbanding dengan suku sebelumnya manakala segmen penyiaran mencatatkan sedikit penurunan disebabkan oleh hasil bukan pengiklanan yang lebih rendah,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata suku sebelum ini telah membuktikan ia menjadi tempoh mencabar bagi industri media, namun kumpulan tetap berdaya tahan dan mencatatkan hasil yang menggalakkan.
“Ini menunjukkan keberhasilan pelan perniagaan yang mantap dan komitmen kumpulan untuk mendorong pertumbuhan yang mampan.
“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan ini akan memberi impak kepada perbelanjaan pengiklanan dan sentimen pengguna. Kami akan terus mengharungi cabaran ini sambil memberikan nilai kepada pemegang saham kami.
“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kelancaran operasi dan memanfaatkan kekuatan terasnya untuk meletakkan kami ke arah kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata kumpulan menyedari keadaan pasaran yang mencabar dan keperluan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pilihan serta cita rasa pengguna dengan kemajuan teknologi.
“Pelan perniagaan tiga tahun kami dibina berdasarkan kualiti kandungan, inventori premium dan penerokaan aliran pendapatan baharu sambil komited dalam memacu pertumbuhan dan memanfaatkan keupayaan teknologi.
“Kami akan terus mempertahankan perniagaan kumpulan sambil membuat pelaburan strategik di dalam platform media yang semakin berkembang seperti segmen digital dan pengiklanan luar rumah.
“Untuk memenuhi keperluan pasaran yang sedang berkembang dengan berkesan, antara langkah strategik yang diambil termasuk memberi fokus kepada potensi platform penstriman kami, Tonton, dan perniagaan perdagangan, WOWSHOP, sejajar dengan aliran semasa,” katanya.
Salah satu inisiatif di bawah pelan perniagaan tiga tahun adalah untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan penstriman video melalui Tonton.
Platform itu telah melalui transformasi, menampilkan wajah baharu yang segar dan perkhidmatan yang dipertingkatkan merentas web, mudah alih dan televisyen pintar.
Antara yang diperkenalkan ialah TontonUp, perkhidmatan langganan yang menawarkan secara eksklusif Tonton Originals dan kandungan yang disiarkan serentak dengan siaran televisyen.
Sejak melaksanakan pembaharuan itu, Tonton telah mencatatkan peningkatan 27 peratus dalam pengguna berdaftar dan peningkatan sebanyak 46 peratus dalam tontonan televisyen secara langsung pada suku pertama 2024 berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan itu boleh dikaitkan dengan strategi pengedaran kandungan ke platform yang mantap.
Tonton sebelum ini telah melancarkan aplikasi TV Pintar yang kini menyumbang 15 peratus daripada penonton platform itu.
Dalam bidang kemanusiaan, Media Prima telah mengaktifkan semula Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi membantu kepada krisis kemanusiaan di Palestin yang berlaku ketika ini.
Kumpulan telah memperuntukkan sebahagian besar aset media untuk mengumpul sumbangan bagi aktiviti bantuan kemanusiaan bagi menyokong komuniti yang terjejas di zon konflik.
Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada mangsa dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan yang bereputasi, yang akan bertanggungjawab menyediakan bantuan kecemasan kepada komuniti yang terjejas oleh krisis.
Bantuan akan merangkumi sumber penting seperti bekalan dan perkhidmatan perubatan, makanan, dan keperluan asas yang lain.