KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai RM482 juta bagi tahun suku pertama tahun kewangan 2024, meningkat sebanyak 50.2 peratus berbanding suku sama tahun lalu dengan hasil perkhidmatan mencecah RM2.67 bilion.
Tumpuan syarikat untuk memberikan nilai yang lebih baik untuk pelanggan melalui pelan 4G dan 5G yang diperbaharui dan penawaran tertumpu membawa kepada pertumbuhan pelanggan yang mantap.
Pelanggan pasca bayar meningkat empat peratus atau 273,000 orang manakala pelanggan ‘Home & Fiber’ bertambah 36 peratus atau 38,000 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 20.5 juta.
Berikutan prestasi memberangsangkan itu, syarikat mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.5 sen sesaham, bersamaan dengan pembayaran pada suku keempat tahun kewangan 2023 sebanyak RM411 juta yang sejajar dengan komitmen dividen mampan kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, berkata prestasi asas suku pertama tahun kewangan 2024 syarikat adalah berdaya tahan, kerana mengekalkan hasil teras yang stabil sambil mengekalkan pertumbuhan asas pelanggan dan meningkatkan keuntungan.
“Pada tahun kedua operasi selepas penggabungan, tumpuan kami adalah terhadap membina asas yang kukuh untuk masa depan demi mencapai pertumbuhan yang menguntungkan, memanfaatkan teknologi dan kecekapan. Kami terus meningkatkan aktiviti transformasi dan integrasi dalam semua aspek dan kekal teguh dalam menyampaikan pengalaman pelanggan terbaik dalam kelasnya, dikuasakan oleh organisasi yang progresif dan cekap.
“Kami komited untuk menjayakan 5G di Malaysia, dengan memacu penggunaan 5G, menyediakan pelan pengguna nilai terbaik dan penyelesaian perusahaan yang inovatif, dan dalam membina teknologi terkini yang mantap.
“Kami berharap untuk memimpin perusahaan dan pengguna Malaysia ke dalam masa depan terhubung dipacu 5G yang selamat, mempercepatkan perusahaan pendigitalan dan inovasi, serta memacu pertumbuhan ekonomi digital untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.