Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih Bumi Armada naik kepada RM732.41juta bagi tahun kewangan 2022

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bumi Armada Bhd untuk tahun kewangan 2022 melonjak kepada RM732.41 juta daripada RM574.07 juta setahun lepas, terutamanya disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Kraken.

Ini mencatatkan satu lagi rekod keuntungan bersih setahun penuh oleh Bumi Armada, yang merupakan yang tertinggi sejak penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd sedekad lalu pada tahun kewangan 2011, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil juga meningkat kepada RM2.41 bilion daripada RM2.16 bilion sebelumnya, didorong oleh hasil yang lebih kukuh daripada segmen operasi disebabkan kerja kontrak pembinaan bawah laut di Laut Kaspia pada tahun kewangan 2022 dan ketersediaan kapal yang lebih tinggi untuk Armada Kraken FPSO.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2022, keuntungan bersih Bumi Armada meningkat kepada RM210.68 juta daripada RM118.00 juta, manakala hasil melonjak kepada RM605.03 juta daripada RM513.05 juta sebelumnya.

Syarikat minyak dan gas itu berkata nilai perolehan kontrak pada akhir suku keempat 2022 kekal kukuh pada RM11.7 bilion, dengan pengembangan pilihan tambahan sehingga RM9.2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Gary Christenson berkata kumpulan itu yang mencatat rekod tahun pada 2022 adalah bukti tumpuan yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan kecekapan kos.

“Melangkah ke hadapan, syarikat akan mengukuhkan kedudukannya dengan prospek projek baharu dan komitmen kami yang lebih kukuh terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus, sambil kekal fokus pada keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini