Tumpuan :
Detik Niaga

Unjuran sumbangan pelaburan AWS kepada ekonomi Malaysia RM57.3 bilion mampu dipercepat – PM

Datuk Seri Anwar pada Majlis Makan Malam Pelancaran AWS Asia Pasifik (Malaysia) hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sumbangan pelaburan pembangunan Amazon Web Services (AWS) Asia Pasifik (Malaysia) kepada ekonomi negara berjumlah RM57.3 bilion menjelang 2038 dapat dipercepatkan enam tahun lebih awal kepada 2032.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan portfolio AWS sebelum ini, syarikat telah membuktikan untuk menyelesaikan pencapaiannya lebih awal daripada pelan asal.

“Pelaburan AWS berjumlah RM29.2 bilion melalui projek AWS Asia Pasifik (Malaysia) sahaja diunjurkan menyumbang RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 2024 dan 2038. Tetapi saya percaya syarikat boleh mempercepatkan (sasaran) itu dari 2038 kepada 2032,” katanya pada Majlis Makan Malam Pelancaran AWS Asia Pasifik (Malaysia) hari ini.

Tambah beliau, ketika Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat merentasi semua 10 negara anggota.

“Kepimpinan Malaysia akan memacu kerjasama dalam kalangan negara ASEAN untuk mengharmonikan dasar digital, menyeragamkan peraturan serta menambah baik aliran data rentas sempadan, meletakkan ASEAN sebagai ekonomi digital yang bersatu,” katanya.

Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan rangka kerja keselamatan siber, meningkatkan kerjasama serantau mengenai ancaman digital, dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital ASEAN kekal teguh.

Datuk Seri Anwar turut menekankan Malaysia telah mewartakan Akta Keselamatan Siber 2024 tahun ini.

Ini merupakan peristiwa penting dalam mengukuhkan pertahanan siber Malaysia, melindungi data dan meningkatkan daya tahan negara terhadap ancaman siber.

Dalam pada itu, kerajaan sedang mengambil langkah penting untuk memastikan operasi pusat data yang mampan dengan garis panduan penggunaan tenaga dan air, serta mengurus pelepasan karbon oleh pusat data.

“Malaysia sedang menangani kebimbangan mengenai pusat data dengan menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui dan strategi pengurusan tenaga lanjutan,” katanya.

Salah satu inisiatif utama ialah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), yang akan membolehkan syarikat korporat mengakses elektrik hijau melalui sistem grid terbuka.

Ini akan membolehkan penjana tenaga boleh diperbaharui pihak ketiga membekalkan kuasa melalui grid nasional.

Loading...
Terkini