comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tumpuan pelabur asing ke Malaysia ketika jangkaan kenaikan kadar AS menurun – RAM Ratings

Foto hiasan

 

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menumpu ke Malaysia pada Julai selepas didorong oleh tanda-tanda yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) menghampiri penghujung kitaran pengetatan kadarnya, kata RAM Ratings.

Kedua-dua pasaran ekuiti serta bon menyaksikan aktiviti belian asing yang lebih rancak.

Secara keseluruhan, aliran masuk asing ke dalam pasaran bon melonjak lebih dua kali ganda dari bulan ke bulan kepada RM11.3 bilion (Jun: RM5.2 bilion), yang terbesar sejak Jun 2020 dan pembelian bersih asing bulan ketujuh berturut-turut.

“Bursa Malaysia juga mencatat aliran masuk asing bersih sebanyak RM1.4 bilion selepas aliran keluar bersih 10 bulan berturut-turut.

“Sentimen pelabur yang lebih baik dan selera untuk aset pasaran baru muncul yang lebih berisiko muncul selepas keluaran cetakan inflasi AS yang menggalakkan pada awal Julai yang menunjukkan penyederhanaan kepada 3 peratus, terendah sejak Mac 2021,” katanya.

“Sejak kenaikan kadar 25 mata asas selanjutnya pada 26 Julai, Fed nampaknya kurang agresif, meningkatkan keyakinan pasaran bahawa tambahan 25 mata asas terakhir seperti yang diramalkan oleh ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan untuk tahun ini tidak akan berlaku,” tambahnya.

Agensi penarafan itu menyatakan permintaan yang lebih kukuh menyaksikan penanda aras hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun susut sebanyak 4.8 mata asas dari bulan ke bulan kepada 3.84 peratus pada akhir Julai manakala ringgit menambah nilai kepada 4.54 berbanding dolar US (akhir Jun: 4.68 ). Sehingga 15 Ogos lepas, hasil MGS 10 tahun berada pada 3.88 peratus manakala ringgit berada pada 4.63 setiap dolar US. – BERNAMA

Loading...
Terkini