KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menarik lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Jepun untuk melabur serta menjalin kerjasama perdagangan.
Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA), Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther, berkata selain menarik pelaburan dan perdagangan dengan syarikat berskala besar, tumpuan perlu diberikan kepada syarikat PKS dari negara matahari terbit itu.
Beliau berkata, hal ini kerana syarikat PKS di Jepun bersaiz lebih besar dari segi jumlah dana dan operasi berbanding PKS di negara ini.”Tumpuan harus juga diberikan kepada syarikat PKS dari Jepun selain usaha berterusan menjalin kerjasama perdagangan dengan syarikat multinasional dari negara itu.
“Perlu diketahui nilai syarikat PKS di Jepun adalah besar dan mereka menjadi sumber utama menyediakan bekalan kepada syarikat besar.
Jika kita dapat menarik mereka ke Malaysia dan menjalin kerjasama dengan syarikat PKS tempatan, sudah tentu kita dapat tingkatkan kapasiti ekonomi syarikat kedua-dua negara.
“Malah, mereka sendiri menghadapi beberapa masalah di Jepun baik sumber bekalan dalam pembuatan, kekurangan tenaga kerja dan sebagainya.
Oleh itu, kami cuba menarik beberapa PKS (Jepun) datang ke Malaysia dan menyertai ekosistem negara untuk pembuatan dan pengeluaran perindustrian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum 50 tahun Kerjasama ASEAN-Jepun anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI).
Mohd Iqbal berkata, pelaburan dari Jepun sudah lama ada di Malaysia dan menjalin jalinan kerjasama perdagangan yang kukuh serta menikmati aliran masuk pelaburan yang sangat baik sejak 1977.