KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap pasaran pejabat premium gred A seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Merdeka 118 akan terus meningkat tahun ini, demikian menurut syarikat pengurusan pelaburan dan hartanah komersial, JLL.
Pengarah Urusan JLL Appraisal & Property Services Sdn Bhd, Jamie Tan, berkata banyak syarikat terutama syarikat multinasional (MNC) mencari pejabat sedemikian kerana mahu selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Perkara ini kami sedari di lapangan ketika ini apabila banyak syarikat terutama syarikat asing mencari bukan sahaja pejabat premium, tetapi mahukan yang menepati kriteria ESG.
“Hal ini kerana mereka perlu mematuhi pematuhan dalaman syarikat yang mahukan bangunan itu sebagai bangunan hijau dan patuh ESG.
“Ketika ini, bekalan bangunan sebegini masih belum banyak menyebabkan permintaan terhadapnya agak tinggi. Antara pejabat di Kuala Lumpur yang berstatus sedemikian adalah di TRX dan Menara Merdeka 118,” katanya.
Tan berkata, susulan daripada itu, banyak pejabat gred B dan C yang akan kosong kerana sukar mendapat penyewa dan ada yang terpaksa mengubah kegunaan bangunan itu.
“Ada bangunan ini yang diubah menjadi pusat data, hotel dan juga kediaman seperti pangsapuri servis. Kami sedar semakin ramai orang mencari pejabat berkualiti yang menawarkan susun atur yang lebih baik, pengurusan ruang yang pintar, patuh ESG, berstatus hijau dan sudah tentu bertaraf premium,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan pusat data di Malaysia mengalami pertumbuhan yang ketara sejak lima tahun lalu dan dijangka berterusan pada kadar yang lebih pantas.
Pada masa ini, katanya bekalan semasa adalah kira-kira 200 megawatt (MW) dan ia diunjurkan mencecah sekitar 750 MW menjelang akhir 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.