comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Trafik penumpang udara melonjak ketara pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara menyaksikan peningkatan tahun ke tahun yang ketara pada suku pertama 2024 sebanyak 16.1 peratus kepada 22.6 juta penumpang.

Pendorong utama lonjakan ini adalah berikutan peningkatan trafik udara antarabangsa sebanyak 39.9 peratus tahun ke tahun yang mencecah 11.9 juta penumpang, manakala trafik penumpang udara domestik suku tahunan pula menurun sedikit, iaitu sebanyak 2.3 peratus berjumlah 10.7 juta penumpang.

Berbanding dengan suku keempat tahun 2023, jumlah trafik penumpang udara pada suku pertama 2024 meningkat sebanyak 2.7 peratus suku ke suku, meskipun terdapat sedikit penurunan bagi trafik udara domestik sebanyak 2.5 peratus dan trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 7.9 peratus suku ke suku.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Sri Saripuddin Kasim, berkata dengan meneliti jumlah trafik udara bagi suku pertama 2024, jelas bahawa sektor penerbangan sedang mengalami pemulihan yang kukuh di mana syarikat penerbangan telah mengalihkan fokus mereka terhadap pemulihan dan penambahan destinasi antarabangsa baharu dalam rangkaian udara mereka.

“Inisiatif pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari China dan India telah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perjalanan udara antarabangsa yang kian pesat meningkat. Walaupun terdapat pengurangan dalam pergerakan kargo udara pada suku pertama, pergerakan kargo udara Malaysia kekal di atas paras prapandemik, iaitu sebanyak 100.7 peratus pergerakan kargo udara pada suku pertama tahun 2019.

“Komitmen MAVCOM terhadap perlindungan pengguna serta pengawalseliaan kekal teguh dan tidak berbelah bahagi, menggariskan peranan penting industri dalam memupuk jalinan hubungan serta memacu kemampanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertumbuhan trafik udara suku tahunan direkodkan walaupun terdapat penurunan sebanyak 10 peratus bulan ke bulan daripada 8.1 juta pada Februari 2024 kepada 7.3 juta pada Mac 2024.

Bulan Mac turut menyaksikan penurunan ketara dalam perjalanan udara domestik, iaitu sebanyak 14.8 peratus, daripada empat juta pada Februari kepada 3.4 juta, makanala trafik udara antarabangsa turut menyaksikan penurunan sebanyak 5.4 peratus bulan ke bulan.

Jumlah penumpang ini mencerminkan pengurangan aktiviti perjalanan udara semasa bulan Ramadan, namun begitu, trafik penumpang udara pada Mac 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun daripada Mac 2023, yang merekodkan seramai 6.9 juta penumpang.

Trajektori pemulihan industri daripada pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa suku pertama 2024 telah mencapai 85.5 peratus daripada paras 2019, dengan pemulihan trafik udara antarabangsa pada kadar 89.3 peratus dan trafik domestik pada kadar 81.7 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini