KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) dijangka tidak akan kembali untung dalam tempoh terdekat berikutan persekitaran harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan yang rendah, demikian menurut penganalisis.
Pengeluar sarung tangan getah terkemuka itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM454.01 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2023, 88.46 peratus lebih besar berbanding kerugian bersih RM52.39 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Kerugian bersih yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh rosot nilai yang tinggi yang mana jika tanpa rosot nilai berkenaan, kumpulan berkenaan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM65 juta pada suku dikaji.
Penganalisis PublicInvest Research, Thye May Ting, berkata bank pelaburan itu kekal berhati-hati terhadap landskap operasi Top Glove, terutamanya berikutan persaingan sengit syarikat China.
Beliau berkata, berdasarkan semakan saluran dijalankan pihaknya mendapati syarikat China kini menjual pada harga semasa AS$14 hingga AS$15 bagi 1,000 keping sarung tangan, dengan margin lebih baik berikutan harga arang batu yang lebih rendah
“Syarikat sarung tangan Malaysia mungkin menghadapi cabaran lebih lanjut dalam bahagian pasaran global kerana pelanggan mungkin terus mengalihkan pesanan mereka kepada syarikat China, terpikat oleh harga yang agak rendah.
“Justeru, kami menjangkakan Top Glove akan kekal rugi dan tidak mungkin kembali ke tahap keuntungan sebelum COVID-19 dalam masa terdekat,” katanya
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu 80 sen terhadap saham Top Glove berbanding 84 sen sebelumnya.
Ia berkata, kerugian teras yang dicatat oleh Top Glove menurun dari suku ke suku kepada RM86.3 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2023, sekali gus membawa angka tahun kewangan 2023 sejajar dengan jangkaan pihaknya dan konsensus.
Katanya, meskipun terdapat cabaran-cabaran akan datang, pihak pengurusan menyatakan bahawa ia akan berusaha untuk menambah baik kecekapan operasi sambil bertekad untuk menjunjung amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selepas dimasukkan dalam Indeks Kelestarian Dow Jones buat tahun kelima berturut-turut.