comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TNB sedia tambah perbelanjaan modal penuhi permintaan tenaga

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan peningkatan dalam perbelanjaan modal bermula tahun depan berikutan tahap permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata dalam konteks operasi TNB, keperluan perbelanjaan modal syarikat ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga dan keputusan penggunaannya dibuat setiap tiga tahun menerusi Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Katanya, ketika ini adalah IBR yang ketiga bermula pada tahun 2022, sekali gus menjadikan tahun ini adalah yang terakhir.

“Pelaburan modal TNB untuk IBR ketiga ini adalah sebanyak RM21 bilion atau RM7 bilion setahun dan sepanjang dua tahun lalu, kami memang menggunakan 100 peratus perbelanjaan modal dan pada tahun ketiga ini pun kami akan gunakan sepenuhnya baki RM7 bilion lagi.

“Dari sudut unjuran perbelanjaan modal, biasanya tertumpu kepada dua perkara utama iaitu pembekalan elektrik kepada pengguna baharu dan yang kedua, penambahbaikan untuk pastikan aset yang telah sampai usianya diganti yang baharu.

“Perbincangan mengenai IBR keempat telah dimulakan dan kita sasar untuk putuskan sehingga akhir tahun kerana dijangkakan 2025 akan menjadi tempoh IBR baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood.

Mengulas lanjut, Megat Jalaluddin berkata, dari sudut keperluan permintaan, TNB mendapati bahawa terdapat permintaan penggunaan yang baik untuk negara selepas COVID-19.

“Jadi, untuk menampung keperluan itu sendiri, kami sememangnya menjangkakan ada peningkatan daripada perbelanjaan modal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Megat Jalaluddin berkata, TNB sentiasa komited untuk memberikan nilai terbaik dan proaktif untuk menambah baik amalan pengurusan aset yang diamanahkan kepadanya.

“Melalui khidmat nasihat SPRM dengan persetujuan pihak ST selaku pengawal selia, TNB dengan ini dapat mengambil langkah-langkah yang lebih jitu dalam pengurusan aset tenaga elektrik.

“Antara langkahnya ialah meningkatkan pengawasan CCTV (rakaman kamera litar tertutup) secara bersasar di kawasan dikenal pasti terutama di Pencawang Masuk Utama (PMU), pemasangan ‘barrel lock’ pada kotak meter pengguna yang berisiko tinggi dan pemasangan sistem biometrik pada peti pembekal voltan rendah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini