Tumpuan :
Detik Niaga

TNB main peranan penting pacu kemajuan, pembangunan Malaysia 

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan dan pembangunan Malaysia dengan memastikan bekalan elektrik yang stabil sejak penubuhannya pada 1949, selain terus melabur dalam teknologi-teknologi baharu untuk menjamin kecekapan.

Sepanjang 73 tahun yang lalu, syarikat utiliti negara itu telah berkembang pesat untuk menjadi sebuah organisasi yang responsif kepada keperluan pihak berkepentingan dan pasarannya.

Dalam segala usaha yang dilaksanakan, TNB sentiasa didorong oleh kepercayaan teguhnya bahawa ia mempunyai tanggungjawab untuk menambah baik kehidupan rakyat Malaysia, menjadikan kehidupan mereka lebih baik dan ceria.

Justeru, pelbagai pelaburan, program, inisiatif, penyelesaian dan kempen telah
dijalankan untuk terus mengembangkan sistem bagi merangsang pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta perniagaan, sambil mengekalkan kestabilan bekalan elektrik negara.

Lebih-lebih lagi, ia juga telah memberi semula kepada rakyat melalui pembayaran dividen tertinggi
kepada kerajaan, yang mengalir semula kepada rakyat dalam bentuk peruntukan pembangunan.

Tanggungjawab sosial korporat, kemahiran semula

Gergasi utiliti itu juga telah melaksanakan pelbagai projek komuniti untuk membantu rakyat dalam pelbagai bidang termasuk sektor sosial dan ekonomi serta sukan.

Awal tahun ini, TNB melanjutkan tempoh pembayaran baki jumlah bil tertunggak untuk pengguna kediaman di bawah pelan bayaran mudah (EPP) daripada enam bulan kepada 12 bulan, mulai  1 Jan hingga 31 Dis 2022, bagi meringankan beban kewangan pengguna yang terkesan oleh keadaan ekonomi yang mencabar.

Sementara itu, inisiatif TNB Reskilling Malaysia telah meluaskan skopnya untuk memasukkan bilangan pekerja ekonomi gig negara yang semakin meningkat untuk mempercepatkan pemulihan pasca-COVID-19 Malaysia.

Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan momentum pasaran tenaga kerja tempatan kerana pendigitalan menggalakkan pengaturan kerja yang lebih fleksibel dan tanpa majikan (employer-free) — ciri utama Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Ia juga termasuk membantu rakyat Malaysia – terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja yang diberhentikan — dengan memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai serta melatih mereka semula melalui program latihan yang berkaitan berdasarkan keperluan majikan.

TNB juga menyediakan majikan yang mengambil bahagian perkhidmatan pengambilan pekerja, membolehkan mereka mendapatkan calon berpotensi dan melatih semula pekerja; dan program ini tersedia secara percuma kepada pengilang serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Program kemahiran semula itu dijangka membantu syarikat mengisi sehingga 17,500 kekosongan dalam tempoh tiga tahun setengah.

Program itu merupakan satu lagi pengesahan bahawa visi TNB melangkaui sebagai entiti perniagaan elektrik biasa, kerana ia mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan yang mungkin tidak berkaitan dengan perniagaan tenaga.

Menurut Profesor Geoffrey Williams, ahli ekonomi dan provos untuk Penyelidikan dan Inovasi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, sumbangan utama TNB adalah melalui memastikan bekalan elektrik yang stabil kepada isi rumah dan perniagaan pada tarif yang berpatutan.

“Ini menyokong aktiviti ekonomi dan sosial serta perkhidmatan awam seperti hospital dan sekolah.

“Faedah sosial datang daripada mewujudkan pekerjaan, memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan perkhidmatan awam tersedia untuk semua orang,” katanya kepada Bernama.

Williams berkata TNB juga mempunyai pendirian sosial dan alam sekitar yang kukuh, yang terbukti melalui program tanggungjawab sosial korporat serta komitmennya pada alam sekitar.

Selain itu, beliau menambah TNB turut membiayai Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan akses kepada pendidikan tinggi.

Pelaburan dalam kecekapan tenaga

Dalam pasaran tenaga dan utiliti yang sentiasa berubah, TNB perlu memastikan ia sentiasa peka dan mengikuti perkembangan teknologi yang boleh digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti tawaran perkhidmatannya, di samping mencipta produk dan perkhidmatan baharu yang memberikan pelanggannya pemerkasaan dan kepuasaan.

“TNB juga melabur dalam teknologi baharu untuk menggalakkan kecekapan tenaga dan sumber tenaga baharu sebagai sebahagian Dasar Tenaga Negara, dan TNB memainkan peranan besar dalam hal ini,” kata Williams.

Grid kuasa TNB adalah pemboleh utama ke arah mencapai peralihan tenaga Malaysia.

Bagaimanapun, pelaburan grid yang besar diperlukan untuk merealisasikan sasaran 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) negara menjelang 2025, yang bermakna grid kuasa negara mesti disediakan dalam tempoh kawal selia selama tiga tahun untuk memenuhi permintaan sambil mengekalkan kestabilan sistem.

Untuk itu, TNB memulakan perjalanan Grid Masa Depan, yang akan membolehkan sistem itu menampung penyelesaian tenaga yang inovatif dan pada masa yang sama mempunyai keselamatan siber terbina serta daya tahan terhadap kesan perubahan iklim.

Bagi menjayakannya, TNB melabur RM21 bilion dalam Program Grid Masa Depannya (2022 hingga 2024) untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpercayaan dalam rangkaian penghantaran dan pengedarannya.

Program ini penting untuk memastikan sambungan zon-zon perindustrian dan ekonomi baharu yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi yang ketara untuk negara, dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat dan berubah.

Menurut TNB, secara proaktif ia turut mengenal pasti lokasi grid penghantaran yang akan meningkatkan integrasi pasaran dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

Ia menambah dianggarkan RM94 bilion kesan pengganda ekonomi daripada industri yang berkait dan 584,000 kesan pengganda pekerjaan daripada industri yang berkaitan dalam tempoh 2022-2024.

Sementara itu, bagi tarif elektrik — yang terdiri daripada tarif asas dan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT)  — TNB mengekalkan ICPT  dari 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2024.

Tarif semasa — yang telah dilaksanakan sejak 1 Jan 2014 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) — kekal pada 39.45 sen setiap kilowatt jam (kWj), manakala pengguna bukan domestik
dari sektor komersial dan perindustrian akan dikenakan surcaj sebanyak 3.70 sen setiap kWj. – BERNAMA

Loading...
Terkini