Tumpuan :
Detik Niaga

TM terima kontrak lanjutan 10 tahun bernilai RM4.9 bilion untuk konsesi MyGov*Net

KUALA LUMPUR: GITN Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), telah menerima Surat Pemberitahuan Pelaksanaan daripada kerajaan untuk melanjutkan konsesi MyGov*Net selama 10 tahun lagi.

Pelanjutan konsesi bernilai RM4.9 bilion itu adalah untuk tempoh dari 1 Jan, 2023 hingga 31 Dis, 2032.

“MyGov*Net akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan TM bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis, 2023 dan juga sepanjang tempoh konsesi berlangsung.

“Konsesi baharu ini lebih rendah dari segi nilainya berbanding sebelum ini terhadap kesan ke atas pendapatan kumpulan TM sepanjang tempoh konsesi,” kata TM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

MyGov*Net ialah rangkaian telekomunikasi bersepadu yang menghubungkan lebih 10,000 premis kerajaan di Malaysia dan kedutaan Malaysia di luar negara.

Rangkaian kerajaan yang selamat dan berdedikasi ini berintegrasi dengan intranet, internet, rangkaian kerajaan dan pusat data sektor awam. – BERNAMA

Loading...
Terkini