Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) tampil menjelaskan statusnya terhadap pengurusan Menara KL (MKL).
TM memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL pada Oktober 2021 dan telah memaklumkan kepada kerajaan.
Kerajaan juga telah memuktamadkan proses pemilihan pemilihan konsesi baharu pada tahun ini.
Dalam satu kenyataan, TM menjelaskan keputusan itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi syarikat untuk memukuhkan perniagaan teras telekomunikasi dan teknologinya.
Ia setelah membuat pertimbangan terhadap perubahan corak perniagaan MKL, daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti.
Kenyataan itu turut mendedahkan MKL dimiliki kerajaan, manakala operasi dan penyelenggaraan menara diberikan di bawah konsesi.
TM melalui subsidiari milik penuh, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) telah menjalankan konsesi itu sejak 1996.
Ia turut dimaklumkan kerajaan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih kedua-dua saham MKLSB dan konsesi MKL.
Bagaimanapun, identiti syarikat baharu itu tidak didedahkan.
Dilaporkan, TM telah menjual konsesi pengurusan MKL kepada syarikat kurang dikenali, Hydroshoppe Sdn Bhd.
Usaha pihak media untuk menjejaki salah seorang pemegang saham utama Hydroshoppe bagaimanapun gagal.
Menerusi satu lawatan berdasarkan alamat yang tertera dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), unit kediaman terbabit dilihat tidak berpenghuni.
Semalam, lawatan New Straits Times ke alamat pada dokumen pemindahan saham mendapati ia milik syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesetiausahaan untuk syarikat sendirian berhad.
Syarikat itu, Azam Corporate Services, telah dilantik oleh Hydroshoppe untuk menguruskan operasinya sejak Ogos.